entah

Posted in anak

sudah beberapa hari aku mencuba untuk masuk ke efx2blog tapi gagal. beberapa hari juga aku cuba untuk kemaskini blog gagal. banyak yang ingin diceritakan. ada kisah tentang dia. ada kisah tentang ummi dan abi. juga ada kisah panas tentang PRU 2008.

cerita tentang dia. semakin hari dia kelihatan semakin cerdik. ada saja benda baharu yang dipelajari. sekarang ini dia sudah mula mengeluarkan suara seolah-olah menegur kita yang sedang bercakap-cakap. rutin hariannya pun juga berubah. tidurnya kurang sangat di siang hari. terutama petang. tapi satu perkara menyenangkan juga kerana malamnya dia tidur lena sehingga pagi. alhamdulillah. cumanya yang aku sedikit bimbang, minumnya banyak. secara purata 1oz/jam. biasanya waktu menyusu akan sela 3-4 jam sekali. bimbang terlebih susu. tapi kesian melihat dia merengek-rengek lapar.

kenduri aqiqah dia selamat dilakukan hujung minggu yang lalu. datuknya menaja penuh majlis. maklumlah cucunya yang pertama. seekor lembu tumbang walaupun hanya perlu dua bahagian sahaja. dua kawah besar gulai daging, 9 gantang beras jadi nasi bersama kerabu perut dua besen besar habis dimakan oleh tetamu yang hadir. kira-kira 400 orang. walaupun kata datuknya, tidaklah menjemput ramai orang cuma menelefon mana-mana yang dapat sahaja. ramai sekali orang kampung yang hadir. termasuklah calon yang berhormat kawasan. bersalaman dengan aku sambil berkata, baliklah mengundi nanti. insyaAllah, kata aku.

kepala dia juga telah pun dibotakkan. 3/4 oleh neneknya dan yang selebih oleh aku. mulanya tidak berani tapi bila lihat mudah saja perlakuan neneknya, aku cuba. memang mudah pun. seperti mencukur janggut sendiri sahaja. apatah lagi guna pun pisau cukur jenama yang sama. licin botak kepalanya menambahkan lagi nampak rupanya yang bulat. semakin kacak. ramai yang terpikat. kata datuknya, cukur kepala itu perlu. buang rambut yang asal dari dalam perut. bersihkan kulit kepala sekali. nanti akan tumbuh yang lebih cantik. aku tahu ramai yang tidak berbuat demikian. alasannya rambut asal cantik dan lebat. dia juga begitu. lebat halus sekali rambutnya. tapi kerana sunat dicukur, ambillah pahalanya. bercerita tentang ini mengingatkan aku yang rambut itu perlu ditimbang. seberat rambut itu dinisbahkan pada harga emas dah disedekahkan nilaiannya pada orang yang memerlukan. nampak pada gayanya mungkin dua atau tiga ratus juga. tidak mengapa, sedekah itu kan dapat pahala.


12:10 PM - 26-Feb-2008 - comments {8} - post comment

pilihanraya ke 12

Posted in umum

pagi tadi SPR telah buat pengumuman. pilihanraya umum ke 12 akan diadakan pada 8 Mac 2008. kali ini kiranya kali kedua aku akan  mengundi. apa yang dipangkah usah ditanya. masing-masing punya hak untuk memilih. pilihan hati masing-masing. yang pasti ialah kita ramai-ramailah keluar mengundi untuk memilih wakil yang boleh membawa suara kita kepada pihak yang berwajib.

SELAMAT MENGUNDI

3:52 PM - 14-Feb-2008 - comments {5} - post comment

sebulan

Posted in anak

hari ni genap dia sebulan. cepat sungguh masa berlalu. tadi pergi ke klinik untuk suntikan Hepatitis B dos kedua. ramai orang di klinik. lama juga tunggunya. nasib baik sepanjang masa tu dia tidur saja. cuma penat pangku. kebas rasa tangan. doktor periksa perkembangannya. semuanya alhamdulillah normal. berat naik 1kg. panjang bertambah 4cm. tiada tanda-tanda demam atau selsema. secara amnya, dia sihat.

beberapa persoalan diajukan pada doktor. dia kerap kali juga seolah-olah tercekik. seperti ada sesuatu tersekat ditekak. mahu diluahkan tidak berjaya. kata doktor itu mungkin lendir-lendir masa lahir yang belum habis lagi keluar. paru-parunya kata doktor bersih. tiada sebarang bunyi. ketika tidur dia suka mendongakkan kepala. kadang-kadang hingga 90 darjah. doktor kata tak elok biarkan. nanti pembetukan kepala tak sempurna. senget sebelah. kalau boleh cuba alihkan dan urut sebelah lehernya. ini kerana ketika dalam rahim, kerana saiz agak besar, dia terpaksa menyesuaikan dirinya dengan keadaan sempit. hasilnya kepala didongakkan. jadi kerana terbiasa begitu, otot-otot sebelah leher jadi tegang bila kepala diluruskan. dia juga sekarang kurang berak. kadang-kadang hanya sekali saja sehari. kata doktor baguslah. itu tandanya dia sudah boleh mengawal waktu bila untuk berak. dan sekarang dia akan ada waktu biasa dia akan berak.

selain itu tiada lagi sebarang masalah. alhamdulillah dia sihat sahaja. walaupun semalam dia tidak tidur langsung dari tengah malam hinggalah ke pagi. terpaksa dipangku. tidak mahu diletakkan di atas tilam. hasilnya, hari ini aku seperti mayat hidup saja. anggota badan bergerak, tapi otak sedang tidur. aku sedang bermimpi menulis blog ketika ini.

3:58 PM - 11-Feb-2008 - comments {5} - post comment

kurang tidur

Posted in anak

hari ini sudah masuk minggu yang keempat hidup aku diubah oleh dia. perubahan yang kadang-kadang terlalu mendadak untuk aku terima dan biasakan diri. yang paling pasti berubah adalah waktu tidur. sehingga hari ini, aku tidak pernah dapat tidur yang lena untuk tempoh lebih dari 3 jam secara berterusan. paling lama ialah 3 jam tanpa gangguan. selepas itu, dia akan mula merengek-rengek minta susu. walaupun penat dan mengantuk, tapi aku tidak pernah nak berkira dengan ummi. giliran siapa yang bangun buat susu. giliran siapa yang patut layan dia. kadang-kadang sepanjang malam aku yang jaga. kadang-kadang ummi yang jaga. kebiasaannya bergilir-gilir.

memang benar bagai dikata oleh banyak orang. seminggu dua pertama memang dia kurang meragam. tunggu selepas hampir sebulan dan ke atas. ya betul. sejak dua tiga hari ini, banyak sungguh ragamnya. malam sudah kurang tidurnya. setiap sejam sekali dia bangun untuk menyusu. aku tak tahu samada tak cukup kenyang atau apa. yang pasti, aku dan ummi sedang dalam proses membuat ujikaji untuk menentu-ukur banyak mana susu setiap kali dia minum yang boleh membuat dia kenyang.

walau bagaimanapun, penat dan letih hilang begitu sahaja bila aku lihat wajah dia yang tersenyum ketika dia tidur lena. manis sekali senyumnya. semalam ummi beri laporan. dia sudah pandai ketawa mengekek. mata masih pejam, mulut mengukir senyum, ketawa kedengaran. kerugian bagi aku kerana terlepas saat itu.

9:59 AM - 6-Feb-2008 - comments {5} - post comment

termangu

Posted in anak

sejak dari dulu lagi, aku memang ada sedikit masalah untuk menerima kenyataan. bukan kenyataan negatif tapi kenyataan positif. aku berjaya dapat semua A dalam semua peperiksaan besar sekolah. tapi kenyataan itu seolah-olah seperti mimpi sahaja. seakan-akan tidak benar berlaku. tidak mungkin berlaku pada diri aku. hinggalah sekarang ini, masalah itu masih lagi belum hilang. aku tak pasti apakah ini masalah besar atau cuma aku sahaja yang menganggapnya masalah.

setiap peristiwa yang berlaku pada diriku seolah-olah mimpi sahaja. terutama peristiwa yang merubah hidupku. tahun 2005 aku mendirikan rumah tangga. rasa aku beberapa bulan juga aku masih tidak dapat menerima hakikat yang disebelah aku setiap hari tidur nyenyak itu adalah isteri aku. tidak disangka aku ada orang yang menyayangi. kadang-kadang bila aku pandang dia sedang membuat kerja rumah dari kejauhan, terdetik dihati, apakah ini semua benar? aku bukan bermimpi lagi. sekarang rasa itu sudah tiada lagi. hakikat aku beristeri sudah diterima akal.

setahun selepas kahwin aku pindah masuk rumah sendiri. rumah yang dibina hasil usaha bersama. walaupun telah lebih setahun tinggal di rumah sendiri, aku kadang-kadang masih tidak percaya itu adalah rumah aku. terkadang rasa seperti kekok untuk mengubah atau mencantikkan rumah kerana terasa rumah itu bukan milik aku. berkali-kali aku pahatkan dalam kepala bahawa itu rumah aku, itu rumah aku. tapi kenyataan itu terlalu besar untuk diterima bulat-bulat dalam sekelip mata.

dan yang terbaru. setiap kali memangku dia, terasa seolah-olah aku memangku anak orang lain. seperti yang aku biasa lakukan. memangku anak-anak saudara aku yang berbelas-belas itu. bila aku pandang wajahnya, dengan matanya yang terkebil-kebil dia memandang aku seolah-olah memberitahu, ini anak abi. ya betul ini anak abi. bukan anak orang lain. hingga saat ini, aku masih lagi terpinga-pinga seperti baru keluar dari kurungan yang panjang, melihat alam yang disiram cahaya mentari ceria. aku sudah mempunyai zuriat. ALHAMDULILLAH!

8:15 AM - 5-Feb-2008 - comments {7} - post comment




Last Page | Next Page

EFX2 Template Design © WelshPixie