travelog & KCB

Posted in buku

mari kita berehat seketika dari bercerita tentang dia. bukannya apa. nanti terlalu banyak cerita muak la pula. tambahan pulak, hilang rasa misteri dan saspen nanti. yang sebenarnya, tiada apa yang menarik ingin diceritakan. melainkan selepas dua minggu, berat dia bertambah 600g. itu sahaja.

baiklah. hari jumaat ini mari kita bercerita tentang buku. sebelum umi bersalin, aku sempat habiskan dua buah buku. yang pertama Travelog Haji (Muhd Kamil) dan yang kedua Ketika Cinta Bertasbih 1 (Habiburrahman El-Shirazy). kedua-dua buku ini memang sangat-sangat bagus. masing-masing penulis ada cara tersendiri. Muhd Kamil menulis benar-benar dari pengalaman. boleh sangat-sangat aku katakan dia menulis dari hati. tergambar keikhlasan hatinya pada setiap patah kata yang disusun menjadi ayat dalam buku tersebut.

buku Travelog Haji mencerita kisah perjalanan menunaikan haji. tapi bukan seperti cerita-cerita yang kita selalu baca. kisahnya tidak bermula dari masa melaporkan diri di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. tapi ceritanya bermula setahun sebelum. dan ceritanya tidak pula tamat selepas menjejakkan kaki kembali ke tanahair. tapi terus menerus selepas kembali ke Malaysia. cerita ini bagi aku sangat-sangat baik untuk dibaca oleh semua orang. bagaimana susah payah penulis hendak menunaikan haji. payah bukan dari segi fizikal atau kewangan, tapi payah dari segi hati dan rohani. sukar sekali aku nak gambarkan di sini. elok sangat kalau dibaca sendiri. buku terbitan PTS Publication. Harganya kalau tak silap RM20++.

Ketika Cinta Bertasbih boleh diletakkan sama tarafnya dengan Ayat-Ayat Cinta. akan tetapi ia tetap mempunyai keunikan sendiri. bagi mereka yang sudah membaca Ayat-Ayat Cinta pasti boleh faham apa yang aku maksudkan. watak utama dalam cerita ini jelas sekali berbeza, tetapi masih lagi sama. berbeza dari segi perjalanan hidup tapi tetap sama dari segi karakter. buku ini adalah siri pertama dalam dwilogi Ketika Cinta Bertasbih. buku yang kedua sudah keluar tapi masih belum ada dalam bahasa malaysia. aku sudah memesan buku kedua, insyaAllah esok atau lusa akan sampai.

buku Ketika Cinta Bertasbih ini aku habiskan dalam dua kali bacaan sahaja. terasa seperti tidak mahu letak dan berhenti membaca. penulis memang benar-benar pandai menggarap tulisan sedemikian rupa. perkara yang sama juga berlaku ketika aku baca Ayat-Ayat Cinta. beberapa kali hendak berhenti tapi sayang nak menutup buku. hati melonjak-lonjak ingin tahu apa yang berlaku selepasnya. kisah kali ini berkisar tentang seorang pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir yang sudah 9 tahun mengambil ijazah sarjana muda tapi masih belum berjaya. bukan tidak cerdik. bukan tidak pandai. tapi keadaan dirinya yang menyebabkan dia tidak mahu menghabiskan pengajiannya awal.

kisah perjuangan watak utama, Azzam meneruskan kehidupan di bumi Kaherah diselang-seli dengan kisah cinta, persahabatan, penipuan, misteri dan ketulusan hati. cara penulisann yang terus tanpa ada banyak bunga-bunga bahasa benar-benar membawa kita menyelami dan merasai sendiri setiap peristiwa yang dilalui oleh watak dalam cerita. ketika takut terasa kita takutnya. ketika sedih terasa kita sedinya. ketika cemas, kita ikut sama cemas.

aku memang sarankan anda bacalah kedua buku ini. ternyata jiwa anda akan rasa basah dengan rasa cinta yang mendalam kepada diri, keluarga, negara dan yang paling penting, cinta kepada Allah dan RasulNya.

3:14 PM - 25-Jan-2008 - comments {2} - post comment

rumusan

Posted in buku

nampaknya segala kekalulatan sejak beberapa hari ini sudah semakin reda. sudah ramai yang mula menetapkan diri di tempat baru. kelihatan selesa sekali. aku pun turut sama sesuaikan diri di tempat baru ini. walaupun pada mulanya rasa agak rimas, tapi perubahan itu adalah sesuatu yang kita tak boleh elak. dunia sentiasa berubah. jadi kita mesti turut sama berubah mengikut arus peredaran masa. melawan perubahan adalah sesuatu tindakan yang menggunakan banyak 'tenaga' dan masa. tapi pastikan perubahan kearah yang lebih baik. hari ini mesti lebih baik dari semalam. dan cubalah melihat setiap perkara dari perspektif gelas masih separuh penuh. kerana masih ada benda yang boleh dikongsi bersama.

baiklah. sepanjang zaman 'kejatuhan' efx2.com, agak banyak juga perkara yang aku ingin utarakan. tapi sekarang semua itu sudah menjadi lapuk. lebih sesuai jika dibuat cuma rumusan saja. aku sudah berjaya menamatkan The Road To Mecca. lebih kurang sebulan selepas aku mula membacanya. dan memang sebagaimana yang dinyatakan oleh beberapa orang yang membacanya sebelum aku, gaya penulisan dan penceritaannya sangat menarik. ada satu bahagian, diceritakan pemandangan dan suasana kota Madinah, begitu indahnya dan telitinya penceritaan, aku rasa ingin terbang ke Madinah ketika itu juga. keinginan membuak-buak untuk berada bersama di sana. lebih-lebih lagi di Makam Nabi. begitu mengujakan. sememangnya satu buku yang membuka minda dan menyegarkan emosi.

kemudian aku sambung pembacaan dengan sesuatu yang lebih ringan. A place called here oleh Cecilia Ahern. pengarang buku tersohor, p/s: I Love You yang khabarnya filemnya sedang dalam pembikinan. ceritanya sememangnya ringan. cara penceritaannya yang menggunakan gambaran dari kacamata watak utama dan beberapa watak penyokong yang lain. melompat dari satu babak ke satu babak yang lain tapi tetap mengekalkan pembaca dalam aliran jalan cerita. membaca buku itu mengingatkan aku pada kisah-kisah orang bunian yang selalu aku dengar satu ketika dulu. elok dibaca sebagai pembacaan ringan.

sekarang aku sedang membaca buku terjemahan dari kitab Dr. Yusof Qaradawi iaitu The Lawfull and The Prohibited in Islam. kumpulan hukum halal dan haram yang ditulis khas untuk pembaca di eropah and amerika. peneranganya mudah dan jelas. bagus untuk menambahkan pengetahuan. walaupun aku Islam kerana lahir dalam keluarga yg Islam, tapi banyak juga yang aku tidak tahu tentang halal-haramnya perkara-perkara disekeliling.

cerita lain. bayi sudah berada di minggu ke-23 minggu ini. pemeriksaan bulanan berjalan lancar. ukuran badan bayi semuanya normal. ukur lilit kepala, dalam mesin pengimbas ditulis sebagai HC (head circumference), diameter kepala, BPD (biparietal diameter), panjang tulang peha, FL (femur length) dan ukur lilit perut, AC (abdominal circumference) semuanya menunjukkan kandungan berada di lingkungan 22 hingga 23 minggu. ini adalah perkara-perkara yang semua doktor patut ukur ketika usia kandungan mencecah 20 minggu. juga dipanggil imbasan minggu ke-20. seperkara lagi yang perlu dilihat ketika ini adalah keadaan organ dalaman. keadaan jantung dan perut biasanya. perlu dipastikan jantung mempunya 4 bahagian dan perut menunjukkan ada tanda-tanda air ketuban ditelan oleh bayi. satu lagi ialah muka bayi. doktor akan melihat mulut bayi untuk menentukan samada bayi mempunyai kecacatan sumbing atau tidak. sebarang kecacatan jika dikesan awal mungkin boleh dirawat kerana bayi masih dalam proses pertumbuhan.

itulah serba sedikit apa yang berlaku sepanjang masa 'kejatuhan' efx2.com. dan sekarang aku sudah dapat sesuaikan diri di tempat baru ini. aku sudah rasa selesa. nanti akan dibaiki lagi tempat baru ini. akan ditambah lagi solekan-solekan dan ubahsuai yang berpatutan. oh... hampir terlupa. selamat datang ke tempat baru dan selamat berpuasa semua. :)

9:44 AM - 21-Sep-2007 - comments {0} - post comment




EFX2 Template Design © WelshPixie